Nutrisi Di Dalam Susu Ibu.

Thursday 15 November 2012
Susu Ibu

Pasti ramai di antara ibu diluar sana tertanya-tanya apakah kandungan yang terdapat didalam susu ibu ini? Cukupkah zat makanan yang ada dalam susu ini untuk diberi kepada bayi? Jika difikir kembali, memang kita akan berasa ragu-ragu dengan khasiat yang terdapat dalam susu ibu kerana ianya terhasil dari badan kita sendiri,tidak seperti susu formula yang telah diuji& dikaji oleh pakar-pakar. Namun begitu, pernahkah kita terfikir,mengapa hanya insan yang bergelar ibu sahaja dianugerahkan susu badan? Pastinya terdapat keistimewaan disebalik  susu tersebut yang tidak ada pada susu lain.Susu ibu sememangnya kaya dengan sumber nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Malah,kandungan susu ibu ini mampu berubah mengikut perkembangan bayi yang disusui. Berikut adalah info & maklumat tentang kandungan yang terdapat dalam susu ibu. Semoga keraguan ibu-ibu tentang kandungan susu ibu ini terjawab.

Protein



Susu ibu mengandungi dua jenis protein iaitu whey dan kasein dengan nisbah 70% whey dan 30% kasein. Protein whey merupakan sumber protein terbaik  yang terdapat didalam kelas protein. Ia memainkan peranan dalam pembentukan dan penyembuhan otot disamping  berfungsi sebagai  antioksida untuk menguatkan sistem imunisasi badan. Kandungan whey dan kasein yang seimbang didalam susu ibu menjadikan ia mudah diserap dan dihadam oleh sistem penghadaman bayi.Berbeza dengan susu formula yang mempunyai nisbah kasein yang tinggi menyebabkan ia sukar dihadam oleh bayi. 
Lemak




Susu ibu juga mengandungi lemak yang penting untuk kesihatan bayi .Antara lemak yang terkandung dalam susu ibu ialah omega 3 atau dikenali sebagai DHA dan AA .Lemak ini diperlukan untuk perkembangan otak, penyerapan vitamin larut lemak, pembentukan retina, dan pembangunan sistem saraf.  Ia juga merupakan sumber kalori utama bagi bayi. Semasa trimester terakhir kehamilan,kebanyakan lemak (DHA) berkumpul didalam otak bayi bagi pembentukan dan perkembangan sel otak.
Vitamin




Terdapat dua jenis vitamin didalam susu ibu iaitu vitamin larut lemak dan vitamin larut air.  Vitamin larut lemak ialah vitamin A, D, E, dan K, manakala Vitamin larut air ialah vitamin C, riboflavin, niasin, dan asid panthothenic . Jumlah dan jenis vitamin ini bergantung kepada pemakanan si ibu itu sendiri. Jadi,amatlah penting untuk ibu mendapatkan nutrisi yang secukupya termasuk vitamin. Ini kerana vitamin tidak dapat dibina oleh sistem badan. Vitamin hanya boleh didapati daripada sumber luar seperti buah-buahan. Disebabkan itu, kebanyakan perunding laktasi menggalakkan ibu yang menyusu untuk meneruskan  pengambilan vitamin prenatal supaya susu yang dihasilkan mengandungi vitamin yang secukupnya.
Karbohidrat



Laktosa ialah antara karbohidrat utama yang terdapat dalam susu ibu.   Ia mencakupi kira-kira 40% daripada jumlah kalori yang disediakan oleh susu ibu.  Laktosa membantu mengurangkan jumlah bakteria tidak sihat dalam perut bayi dengan meningkatkan penyerapan kalsium, fosforus dan magnesium . Ia juga membantu melawan penyakit dan menggalakkan pertumbuhan bakteria sihat dalam perut.  

Leukosit atau Sel darah putih
merupakan sel hidup yang hanya terdapat dalam susu ibu.  Leukosit berfungsi menghasilkan antibody dan memakan kuman/bendasing (bakteria) yang masuk kedalam tubuh bayi.
Laktoferin 
menghalang pertumbuhan bakteria dalam saluran gastrousus seperti koliform dan yis.
IgA 
berfungsi untuk melindungi bayi dari bakteria dan virus khususnya  daripada virus E. Coli dan alergi. Terdapat juga Imunoglobulin lain didalam susu ibu seperti IgG dan IgM yang turut membantu melindungi bayi daripada jangkitan bakteria dan virus. Pengambilan ikan dalam nutrisi pemakanan ibu dapat membantu menambah kandungan protein ini didalam susu ibu.   
Lysozyme (enzim)
menggalakkan pertumbuhan usus yang sihat dan mempunyai fungsi anti-radang. Juga berfungsi melindungi bayi daripada serangan bakteria Salmonella dan E. Coli yang menyebabkan keracunan makanan dan tifoid.

Bifidus 
menggalakkan pertumbuhan lactobacillus iaitu sejenis bakteria baik. Lactobacillus melindungi bayi daripada bakteria berbahaya dengan cara mewujudkan persekitaran berasid yang menyebabkan  bakteria berbahaya  tidak boleh hidup.

Jadi,Susu Ibu Adalah Susu Terbaik!



Unik bukan!Susu yang terhasil dari badan kita ini kaya dengan segala macam nutrisi makanan yang diperlukan oleh bayi. Gabungan pelbagai jenis komponen makanan seperti zat,enzim,hormon,sel hidup dan antibodi menjadikan susu ibu ,susu yang ideal untuk bayi. Tiada lagi susu formula yang dapat menggabungkan semua komponen ini dalam satu formula. Jika ada pun,ianya pasti dijual dengan harga yang mahal. Susu ibu? Percuma!
Semoga dengan perkongsian ini akan membuka hati para ibu untuk menghargai anugerah yang diberikan kepada kita insan yang bergelar IBU.Bak kata pepatah 
“Tak Kenal Maka Tak Cinta,Dah Kenal,Cinta Sampai Bila-bila"

0 comments:

Post a Comment